Wednesday, October 31, 2012

BERITA | Anjur peraduan pelaburan maya


KUALA LUMPUR 4 Okt. - OSK Investment Bank Bhd. (OSK Investment) hari ini melancarkan pertandingan pelaburan maya, Cabaran Pelaburan OSK (OSKIC), untuk tahun kedua.

Majlis pelancaran pertandingan itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan.

Ketua Pegawai Eksekutif OSK Investment, U Chen Hock berkata, OSKIC direka untuk mendidik dan menggalakkan para pelajar terhadap pasaran modal dengan menyediakan platform untuk mereka merasai pengalaman sebenar sebagai pelabur maya dalam simulasi pasaran saham.

''Pendidikan merupakan bahagian penting dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami. Ia sejajar dengan matlamat OSKIC yang mengajar belia mengenai pengurusan kewangan terutama bagi pelaburan dan dagangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran OSKIC di sini hari ini.

Sehingga kini, lebih 18,000 pelajar dari 100 kolej dan universiti tempatan telah mendaftar untuk pertandingan yang bermula dari 4 hingga 28 Oktober ini.

OSKIC dibuka kepada semua pelajar Malaysia kolej dan universiti tempatan tanpa dikenakan yuran pendaftaran dan peserta akan diberi duit maya sebanyak RM100,000 untuk didagangkan berdasarkan harga pasaran saham semasa.

Terdapat beberapa kategori dipertandingkan dengan hadiah utama individu adalah RM25,000 , manakala bagi universiti atau kolej bakal menerima penajaan perpustakaan bernilai RM50,000.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_08.htm#ixzz2AuEODkSp
© Utusan Melayu (M) Bhd